YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, 6 Jun 2024 (Khamis).
Jawatankuasa khas ini berperanan meningkatkan tindakan secara bersepadu ke atas pelaksanaan strategi dan pelan tindakan pengurusan kemerosotan kualiti air sungai yang merentasi bidang kuasa Kerajaan Persekutuaan dan Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan masing- masing. Hal ini penting bagi memastikan sumber air yang cukup dan bersih serta selamat dibekalkan kepada pengguna.
Mesyuarat turut menjemput semua Ketua Pengarah dari Agensi Persekutuan dan Pihak Berkuasa Sumber Air Negeri termasuk Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) yang telah diwakili oleh Puan Safura binti Mad Juhari (Pengarah Sumber Air Terengganu) dan Cik Norazida binti Manan (Pegawai Sains). Mesyuarat juga dihadiri oleh YB Datuk Razali bin Idris (Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu) mewakili Menteri Besar Terengganu.




